PENJAGA gol Malaysia, Farizal
Marlias berjaya menangkap kemas bola percubaan pemain Indonesia pada
aksi Kumpulan B Piala Suzuki AFF 2012 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
|
MASALAH komunikasi dilihat masih menghantui skuad Harimau Malaya
sebaik melangkah ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2012 apabila membenam
Indonesia 2-0 dalam aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Nasional, Bukit
Jalil malam tadi.
Andai ia tidak diatasi segera, tidak mustahil anak-anak buah Datuk K.
Rajagobal berdepan tugas getir ketika melayan kunjungan juara Kumpulan
A, Thailand dalam aksi separuh akhir pertama pada 9 Disember ini.
Kesukaran benteng pertahanan Harimau Malaya mengekang larian deras
Andik Vermansyah, Elie Aiboy dan Oktovianus Maniani malam tadi juga
seolah-olah memberikan petunjuk jelas buat Thailand nanti.
Namun pada masa sama, kejayaan menewaskan Sang Garuda malam tadi
sememangnya detik yang paling istimewa buat seluruh rakyat Malaysia,
sekali gus mengulangi kecemerlangan final edisi dua tahun lalu yang
menyaksikan Malaysia muncul juara buat julung kalinya.
Ternyata, skrip yang lebih kurang sama seperti mana edisi dua tahun
lalu masih menjadi pilihan Rajagobal kali ini apabila kembali bangkit
melakar dua kemenangan bergaya setelah dikejutkan Singapura 0-3 dalam
aksi pembuka tirai kumpulan, Ahad lalu.
Sebaik membelasah Laos 4-1 dalam perlawanan kedua, Harimau Malaya
tidak lagi menoleh ke belakang apabila menjadikan Sang Garuda sebagai
medan melepaskan geram malam tadi sebaik dikritik hebat penyokong
fanatik negara pada permulaan kempen kali ini.
Lebih manis, kekalahan Indonesia itu juga bermakna Sang Garuda
ditunjukkan jalan keluar lebih awal dalam kempen kali ini setelah
Singapura berjaya menewaskan Laos 4-3 dalam satu lagi aksi dramatik
kumpulan yang berlangsung serentak di Stadium Shah Alam malam tadi.
Dengan keputusan itu, Singapura muncul juara kumpulan biarpun
berkongsi enam mata dengan Harimau Malaya, namun kedua-dua pasukan
dibezakan dengan jaringan gol.
Dalam perlawanan malam tadi, Harimau Malaya nyaris 'lemas' dengan
asakan bertali-arus Sang Garuda yang dilihat beberapa kali berjaya
memerangkap benteng pertahanan negara yang diterajui Aidil Zaquan Abdul
Razak dan Mohd. Fadhli Shas.
Masalah komunikasi antara jentera tengah dan benteng pertahanan
negara juga nyaris mengundang padah pada awal babak pertama, mujurlah
kecekapan penjaga gol negara, Farizal Marlias melegakan lebih 60,000
penyokong tuan rumah.
Namun, keghairahan skuad kendalian Nil Maizar memburu gol awal
akhirnya dihukum pasukan negara apabila Azammuddin Mohd. Akil tenang
memecah kebuntuan pada minit ke-26.
Pemain pertahanan, Mahalli Jasuli menambah derita Indonesia apabila
menggandakan kelebihan tiga minit kemudian hasil hantaran kemas Wan Zack
Haikal Wan Nor sekali gus mengatasi jangkauan penjaga gol lawan, Wahyu
Tri Nughoro.
Indonesia yang terdesak memburu gol penyamaan dilihat semakin garang
lantas mengundang aksi kasar beberapa pemain negara selepas itu sehingga
memaksa pengadil dari Uzbekistan, Kovalenko Valentin melayangkan kad
kuning kepada Aidil dan Shakir Shaari.
Mujur kebijaksanaan Fadhli dan Zubir Azmi merantai pergerakan Andik
dan M. Syafiq sepanjang babak kedua juga menyebabkan Indonesia berputih
mata bagi menyamakan kedudukan.
Begitupun, kecederaan beberapa pemain seperti Safee Sali dan
Norshahrul Idlan Talaha yang dilihat terhincut-hincut pada penghujung
babak kedua dilihat meresahkan menjelang pertemuan menentang Thailand
nanti.