Saturday 1 December 2012

Thailand pamer karakter sebenar



PEMAIN Thailand, Kirati Keawsombut (kiri) bersaing dengan tonggak Vietnam, Nguyen Gia Tu ketika aksi Piala Suzuki AFF 2012 di Stadium Rajamangala, Bangkok malam kelmarin.


BANGKOK - Juara tiga kali, Thailand jelas mempamerkan karakter selaku juara pada kempen Piala Suzuki AFF 2012 setakat ini.
Malam kelmarin, skuad kendalian Winfried Schafer itu muncul juara Kumpulan A apabila menewaskan Vietnam 3-1 di Stadium Rajamangala, Bangkok.
Keputusan tersebut menyaksikan skuad Gajah Putih itu merupakan satu-satunya pasukan yang berjaya meraih sembilan mata maksimum dalam kempen kali ini selepas mereka terlebih dahulu menewaskan Filipina 2-1 dan Myanmar 4-0.
Keputusan itu membuka laluan buat Thailand membuat perhitungan dengan naib juara Kumpulan B pada separuh akhir pertama di tempat lawan pada 9 Disember depan sebelum kembali beraksi di Stadium Rajamangala empat hari kemudian.
Sudah tentu, Schafer merupakan individu yang paling gembira dengan kejayaan pasukannya mara lebih jauh kali ini selepas terkandas di peringkat kumpulan dalam edisi dua tahun lalu.
"Apa lagi yang boleh saya katakan? Kami berjaya meraih sembilan mata maksimum, sudah tentu ia satu keputusan yang menakjubkan.
"Pada masa sama, saya juga memuji skuad kedua kami yang berjaya mengatasi Vietnam biarpun beraksi dengan 10 pemain (malam kelmarin).
"Percaturan saya merehatkan beberapa pemain utama bagi mengelak dilayangkan kad kuning atau merah juga berbaloi dengan kemenangan ini," katanya.
Schafer memberitahu, skuad kendaliannya kini mengalihkan fokus mengenai siapa lawan mereka di separuh akhir nanti.
"Kami pernah mengatasi Malaysia manakala Indonesia juga bukan satu masalah buat kami biarpun belum berdepan mereka sebelum ini.
"Jika berdepan Singapura juga saya tidak terlalu bimbang kerana pernah menyaksikan perlawanan antara mereka dan Filipina dalam satu aksi persahabatan baru-baru ini," katanya.
Di sebalik kecemerlangan anak-anak buahnya, Schafer enggan mendabik dada dengan kemampuan Thailand memburu kejuaraan buat kali keempat Piala Suzuki AFF selepas kali terakhir muncul juara sedekad lalu.
"Masih terlalu awal untuk menyifatkan kami mampu mengulangi kejayaan seperti mana edisi 2002.
"Tempoh 10 tahun sememangnya satu masa yang lama dan saya memahami keterujaan peminat.
"Cuma pada masa sama, saya lebih gemar memikirkan aksi di separuh akhir terlebih dahulu sebelum mencongak strategi di final," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Featured post

Renew Insurans Murah

 Renew Insurans Murah Serendah RM90.00 untuk motorsikal dan serendah RM200.00 untuk kereta.. wasap segera 0199374884-Syah