Sejarah awal
pembinaan kaabah ada terkandung dalam al-Quran yang mana ia telah dibina
oleh Nabi Ibrahim serta dibantu oleh anaknya Nabi Ismail pada ketika
itu.
Sejarah Awal Pembinaan Kaabah | Seperti yang kita tahu, kaabah merupakan kiblat bagi umat Islam di dunia ini.
Kiblat juga terletak di bahagian tengah Masjidil Haram dan merupakan
tempat yang dikunjung oleh jutaan umat manusia setiap tahun. Namun
adakah kita tahu tentang sejarah awal pembinaan kaabah ini? Kaabah mempunyai sejarah tersendiri di mana kawasan ini jugalah Rasulullah SAW menyelesaikan masalah pertelingkahan yang berlaku untuk menentukan siapakah mendapat penghormatan meletakkan batu Hajar Aswad.
Allah SWT telah memerintahkan Nabi
Ibrahim Al-Khalil a.s pergi ke Mekah untuk membina Baitullah (Kaabah).
Beliau berkata kepada anaknya Ismail as :
“Sesungguhnya Allah SWT telah
memerintahkan aku satu perkara” Lalu Nabi Ismail a.s berkata:
“Lakukanlah apa yang telah diperintahkan oleh Allah SWT kepada kamu”
Nabi Ibrahim a.s bertanya: “Adakah kamu akan menolongku?” Nabi Ismail
a.s menjawab: “Aku akan menolongmu” Lalu beliau berkata: “Sesungguhnya
Allah SWT telah memerintahkan aku supaya membina sebuah rumah (Kaabah)
di Mekah, sambil mengisyaratkan ke arah timbunan tanah yang lebih tinggi
dari kawasan sekitarnya.”
Mereka berdua mendirikan tapak asas
Baitullah di kawasan tersebut, dimana Nabi Ismail a.s mengangkut
ketulan-ketulan batu manakala Nabi Ibrahim a.s membinanya. Apabila binaan tersebut telah tinggi, Nabi Ismail a.s membawa sebuah batu dan meletakkannya di samping Nabi Ibrahim a.s.
Beliau berdiri di atas batu tersebut semasa meneruskan pembinaan
manakala Nabi Ismail a.s menghulurkan ketulan batu, di samping itu
mereka berdoa sebagaimana firman Allah Yang bermaksud:
“Wahai Tuhan kami! Terimalah amal
kami sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua orang-orang yang berserah diri
kepadaMu dan jadikanlah daripada keturunan kami umat yang berserah diri
kepadaMu dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami
dan terimalah taubat kami sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat
lagi Maha Mengasihani. Wahai Tuhan kami! Utuslah kepada mereka seorang
Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka
ayat-ayatMu dan mengajarkan mereka isi kandungan al-Quran serta hikmat
kebijaksanaan dan membersihkan hati dan jiwa mereka dari perbuatan
syirik dan maksiat. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Kuasa lagi Maha
Bijaksana.”
Sehinggalah Allah SWT menyempurnakan pembinaan Baitullah (Kaabah) tersebut kepada mereka berdua. Nabi Ibrahim Al-Khalil a.s membina Kaabah dengan keadaan :
- Tinggi Kaabah sembilan hasta.
- Panjang dari paras bumi atau dari Hajarulaswad hingga ke penjuru sebelah Syam adalah sepanjang 32 hasta.
- Lebar Kaabah dari bahagian saluran air bermula dari penjuru Syam hingga ke penjuru sebelah barat adalah seluas 22 hasta.
- Panjang dari paras bumi bermula sebelah barat hingga ke penjuru sebelah Yaman adalah sepanjang 31 hasta.
- Lebar di paras bumi bermula dari penjuru sebelah Yaman hingga ke Hajarulaswad adalah seluas 20 hasta.
- Nabi Ibrahim telah membina pintu Kaabah rapat ke bumi dan tidak ditinggikan atau dibuat pintu secara sempurna sehinggalah Tubba’ Al-Humairi telah membina sebuah pintu dan meninggikannya.
Bentuk binaan Kaabah yang dibina oleh Nabi Ibrahim a.s adalah satu binaan sempurna
yang mempunyai dua penjuru iaitu dua penjuru Yamani manakala bentuk
Hijir pula, beliau tidak membinanya dalam bentuk berpenjuru bahkan dalam
bentuk separuh bulat sebagaimana bentuk Hijir yang terdapat pada masa
sekarang ini. Ada pendapat yang mengatakan umur Nabi Ibrahim ketika membina Kaabah tersebut ialah 100 tahun.
No comments:
Post a Comment