Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman berkata, pemberian bonus dan juga Bayaran Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap dedikasi penjawat awam serta pesara kerajaan.
"Pemberian bonus dan bayaran khas ini memang sungguh bermakna khasnya kepada penjawat awam yang berpendapatan sederhana terutamanya bagi membuat persiapan perayaan (Aidilfitri) yang bakal tiba," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan pemberian bonus dan bayaran khas yang akan dibuat pada 9 Ogos itu akan memanfaatkan seramai 1.27 juta penjawat awam persekutuan dan 657,000 pesara kerajaan.
Omar turut berharap penjawat awam dan pesara kerajaan akan menggunakan pemberian bonus dan bayaran khas itu dengan sebaik-baiknya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM), Datuk Paduka Raja Wan Mahmood Pawan Teh berkata, bayaran khas itu membuktikan kerajaan prihatin terhadap para pesara yang dahulunya pernah berkhidmat dan berkorban tenaga dalam proses pembangunan negara.
Katanya ini menunjukkan Najib, seorang pemimpin yang bersikap mulia dan sangat menitikberatkan kebajikan penjawat awam serta pesara kerajaan.
Pesara kerajaan hendaklah menggunakan bonus secara berhemah, berjimat-cermat untuk melakukan perkara yang berfaedah, katanya.
Bagi penjawat awam yang masih berkhidmat, beliau menasihatkan mereka harus tekun bekerja dan taat kepada kerajaan supaya dapat melaksanakan hasil yang boleh diterjemahkan untuk kejayaan negara. - Bernama
No comments:
Post a Comment