|
MUHAMMAD Nazmi Faiz Mansor kini sah menjadi milik kelab Selangor PKNS.
Semalam, dia menandatangani kontrak selama tiga tahun bersama kelab itu, namun nilai perpindahan tidak didedahkan.
Pengurus Selangor PKNS, Azmi Adnan berkata, kedatangan Nazmi ke kelab itu ibarat ‘durian runtuh’ buat mereka dan kehadirannya bakal memperkukuhkan pasukan yang menghuni tangga kelapan saingan Liga Super ketika ini.
“Ejen Nazmi, Marco Guimaraes telah datang mengadakan perbincangan dengan kami pada awal Januari lalu bagi menyatakan bahawa Nazmi akan dilepaskan oleh kelab S.C Beira-Mar dan dia (Nazmi) sedang mencari kelab baharu.
“Selepas mengadakan perbincangan lanjut, kami bersetuju untuk ‘membelinya’. Proses itu berjalan lancar manakala kontraknya bersama S.C Beira-Mar telah ditamatkan,” kata Azmi semalam.
Menurut Azmi lagi, esok dia akan pergi ke pejabat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi membincangkan beberapa perkara lagi untuk membolehkan Nazmi turun dalam perlawanan Liga Super pada 16 Februari depan menentang Felda United.
Kata Azmi, Selangor PKNS tidak beraksi dalam Piala Presiden, oleh itu mereka boleh mendaftar 35 orang pemain dan ketika ini mereka hanya memiliki 29 pemain yang didaftarkan.
“Kami bertekad mengasah bakatnya sebaik mungkin dan yakin Nazmi juga mampu memberikan sesuatu kepada kami.
“Nazmi akan memakai jersi nombor 33 bersama Selangor PKNS dan pihaknya akan merayu kepada FAM agar membenarkannya bermain tanpa menunggu sehingga jendela perpindahan pemain dibuka pada April,” kata Azmi lagi.
Sementara itu, ejen Nazmi, Guimaraes berkata, terdapat beberapa kelab Liga Malaysia yang berminat mendapatkan Nazmi, namun dia (Nazmi) telah memilih Selangor PKNS sebagai pasukan baharunya.
Bagaimanapun, Guimaraes juga enggan mengulas lanjut sebab kontrak Nazmi bersama SC Beira-Mar ditamatkan lebih awal.
Untuk rekod, Nazmi, 19, telah menandatangani kontrak bersama SC Beira-Mar selama tiga tahun pada 21 Mei tahun lalu.
Sebelum menyertai kelab Portugal, pemain kelahiran Lembah Keramat, Kuala Lumpur itu mewakili skuad Harimau Muda kendalian Ong Kim Swee.
No comments:
Post a Comment