Tuesday 4 September 2012

ATM sahkan slot ke suku akhir




PEMAIN Terengganu, Joseph Kalang Tie (tengah) dikawal ketat pertahanan ATM pada aksi Kumpulan B Piala Malaysia di Kuala Terengganu semalam.


ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) berjaya mengesahkan tiket ke pusingan suku akhir saingan Piala Malaysia 2012 selepas menundukkan Terengganu 2-0 pada aksi Kumpulan B di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu semalam.
Seperti yang diramalkan, Terengganu yang menampilkan persembahan bertenaga, terdesak untuk memburu kemenangan pada aksi kelima kejohanan piala berprestij tempatan tersebut.
Namun, ATM memastikan pasukan berstatus kelab itu berjaya mara ke kelompok lapan pasukan terbaik menerusi dua jaringan pemain import, Marlon Alex James dan Sebastian Martelotto yang meledak gol pada minit ke-73 dan 87.
Kemenangan tersebut sekali gus meletakkan skuad kendalian B. Sathianathan itu muncul selaku pendahulu kumpulan manakala skuad Penyu menduduki tangga tercorot.
Di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor, hajat Johor FC untuk mengesahkan slot ke suku akhir lebih awal tidak kesampaian apabila tewas 1-3 kepada Johor.
Johor berada di hadapan seawal minit ke-18 menerusi jaringan pemain import, Muriel Juan Orlando yang mudah menewaskan penjaga gol lawan, Muhd. Zamir Selamat melalui sepakan penalti.
Gol kedua skuad Jengking hadir pada minit ke-38 melalui rembatan kencang Muhd. Haidin Azman dari dalam kotak penalti selepas terlebih dahulu menggelecek tiga pemain skuad Lebah melalui pergerakan solo.
Pemain Johor, Muhd. Haidin sekali lagi muncul wira apabila menghadiahkan gol ketiga tuan rumah pada minit ke-50 melalui rembatan leret menewaskan Muhd. Zamir.
Johor FC cuba bangkit pada babak kedua apabila Arthur Henrique menjaringkan gol tunggal tuan rumah melalui sepakan percuma pada minit ke-61, namun keputusan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan.
Di Stadium Darulaman, Alor Setar, Kedah terpaksa menggunakan talian hayat pasukan lain untuk mara ke suku akhir Piala Malaysia setelah sekadar mencatat keputusan seri 0-0 dengan Kelantan dalam saingan Kumpulan B.
Tiga peluang keemasan skuad Kenari untuk menjaringkan gol gagal disudahkan dengan baik barisan penyerang membuatkan mereka terpaksa gigit jari meraih kemenangan untuk mencerahkan peluang berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik.
Dengan keputusan itu Kedah berada di tangga ketiga kumpulan dengan lima mata, tiga mata di belakang Kelantan yang menghuni tangga kedua dengan ATM terus menerajui kumpulan dengan 10 mata.
Pada pertemuan terakhir menentang ATM, Kedah yang dibimbing Mario Tot berdepan tugas sukar dengan misi wajib menang besar selain mengharapkan Kelantan tewas kepada Terengganu.
Skuad Kenari berpeluang mendahului pada minit ke-10 menerusi penyerang Khyril Muhymeen Mohd. Zambri setelah menerima hantaran lintang daripada Mohd. Sabree Abu, namun sentuhannya tersasar.
Peluang skuad Hijau Kuning sekali lagi hadir pada minit ke-39, namun sepakan percuma kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar terkena tiang sebelum disepak keluar pertahanan Kelantan.
Kelantan yang bertungkus lumus untuk mencari gol terus buntu sehingga terpaksa mengeluarkan penyerang pinjaman dari Kuala Lumpur, Mohd. Afiq Azmi dengan memasukkan Mohd. Nor Farhan pada babak kedua.
Pasukan tuan rumah yang terdesak memburu kemenangan hampir menjaringkan gol pada minit ke-66, namun larian solo, Vedran Gerc gagal menewaskan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.
Di Stadium Darul Makmur, Kuantan, hasrat Pahang menambah tiga lagi mata dalam pertemuan kedua menentang Selangor di hadapan 20,000 penyokong di Stadium Darul Makmur, Kuantan tidak kesampaian apabila tewas 1-4.
Permainan dimulakan dengan aksi Pahang cuba mengimbangi asakan Selangor yang bermula garang pada minit-minit awal permainan.
Cubaan pasukan tuan rumah untuk terus mengawal kelincahan Selangor di hadapan pintu gawang berjaya diatasi skuad Gergasi Merah apabila Amri Yahyah menyempurnakan gol pertama pada minit ke-14 melalui rembatan tepat dalam petak penalti.
Rentak permainan Pahang pada minit seterusnya terus goyah apabila beberapa hantaran menjadi serba tidak kemas.
Mengambil peluang terhadap kealpaan pasukan tuan rumah, skuad Gergasi Merah menggegarkan gawang Pahang dengan gol kedua melalui tandukan Bosko Balaban pada minit ke-33.
Kealpaan Pahang terus dihukum apabila Amri sekali lagi meledakkan gol pada minit ke-50 manakala Rozaimi Abdul Rahman menyempurnakan gol keempat Selangor empat minit kemudian.
Hanya pada minit ke-70, Pahang berjaya menjaringkan gol tunggal melalui sepakan penalti Mohd. Hafiz Kamal selepas bola terkena tangan Adip Azudin ketika diasak bertubi-tubi oleh pemain tuan rumah.
Di Kuching, Sarawak menghidupkan peluang apabila berpesta gol dengan menewaskan T-Team 6-1 pada aksi yang berlangsung di Stadium Negeri, Sarawak.

No comments:

Post a Comment

Featured post

Renew Insurans Murah

 Renew Insurans Murah Serendah RM90.00 untuk motorsikal dan serendah RM200.00 untuk kereta.. wasap segera 0199374884-Syah