Lee Chong Wei
Jurulatih Tey Seu Bok menenangkan Lee Chong Wei selepas kecundang di tangan Lin Dan. - Foto Bernama
Lee Chong Wei
Lee Chong Wei bersama pingat perak selepas kecundang di tangan Lin Dan di Sukan Olimpik London, hari ini. 
- "Saya minta maaf". Itulah kata-kata ringkas daripada Datuk Lee Chong Wei selepas gagal memperoleh emas dalam acara badminton perseorangan lelaki pada Sukan Olimpik di London, malam ini.
Beliau berkata demikian selepas sekali lagi gagal di tangan Lin Dan, musuh tradisinya, yang memperoleh emas pada 2008 di Beijing.
Chong Wei kemungkinan ada sebab beliau berbuat demikian. Satu negara meletakkan harapan pada beliau untuk membawa emas tunggal ke tanah air.
Susulan mesej itu, yang ditulis menerusi mikro blog twitternya kira-kira jam 9.55 malam tadi (waktu Malaysia), Chong Wei ‏pilihan pertama Sukan Olimpik 2012, menghantar mesej susulan 15 minit kemudian dengan antara lain berkata:
"Terima kasih kepada semua. Saya minta maaf. Saya tidak dapat kutip emas (kali ini)."
Bagaimanapun penyokong dan peminatnya menolak mesej itu sambil ada yang menjawab Chong Wei, yang turut menitiskan air mata selepas perlawanan, tidak wajar meminta maaf.
Chong Wei tiada sebab untuk meminta maaf, kata sebahagian besar pengikutnya. Kebanyakan memberi semangat kepada Chong Wei.