WANITA bijak menyimpan rahsia hinggalah kecurangan mereka terbongkar.Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
KISAH isteri curang atau suami menangkap isteri berkhalwat dengan lelaki lain semakin kerap dilaporkan media kebelakangan ini.
Kes
terbaru berlaku di Kuantan, Pahang, 5 Julai lalu. Seorang suami,
dikenali sebagai Muhammad yang mengesyaki isterinya bermain kayu tiga
bertindak memasang perangkap dengan pihak penguat kuasa Jabatan Agama
Islam Pahang (JAIP).
Menurut Muhammad, pada mulanya beliau tidak mengesyaki apa-apa kerana wanita itu sibuk dengan perniagaan butiknya.
“Namun,
saya sendiri yang menangkapnya ketika dia berdua-duaan dengan seorang
lelaki lain di sebuah bilik sewa yang terletak di atas sebuah restoran,”
cerita beliau.
Bagi Halim (bukan nama sebenar) pula, dia tidak
menyangka isterinya Halimah (nama samaran) yang berperwatakan baik
sanggup menjalin hubungan sulit dengan suami orang.
“Sepanjang
hidup bersamanya, tidak sedikit pun saya meragui kesetiaannya
memandangkan perkahwinan kami atas dasar suka sama suka,” katanya dalam
ruangan forum Internet.
Halim memberitahu, ketika dia bersusah payah membangunkan perniagaan, Halimah merupakan menjadi sumber inspirasinya.
Isterinya
juga melayannya dengan penuh kasih sayang dan rumah tangga mereka
bertambah bahagia selepas dikurniakan seorang anak lelaki yang kini
berusia sembilan tahun.
Namun, ada juga rakan memberitahu Halim
mereka pernah melihat Halimah bersama lelaki lain dalam keadaan
mencurigakan tetapi tidak diendahkan Halim.
Pada suatu hari, kereta yang dipandu Halim rosak dan beliau terpaksa pulang ke rumah untuk mengambil sebuah lagi keretanya.
Di
rumah, Halim terkejut besar melihat kelibat seorang lelaki keluar dari
pintu belakang. Dengan segala kudrat, Halim mengejar lelaki itu dan
berjaya menangkapnya.
Meningkat
Tetapi apa yang
menyedihkan, Halim mendapati isterinya berada dalam keadaan kusut dan
memakai baju tidur tanpa coli di ruang tamu. Mereka berdua akhirnya
bercerai.
Menurut seorang peguam syarie, Musa Awang, kes
perceraian akibat isteri curang seperti yang dilalui Muhammad dan Halim
itu meningkat 20 peratus setiap tahun.
“Perkara ini cukup serius
terutama bagi pasangan suami isteri yang menetap di bandar besar. Saya
berpendapat antara puncanya ialah isteri banyak menghabiskan masa di
tempat kerja.
“Mereka kurang bersama suami dan jika ada masalah
rumah tangga, mereka akan berkongsi dengan orang ketiga yang suka
mengambil kesempatan,” katanya yang berpengalaman lebih 10 tahun
mengendalikan kes cerai di mahkamah syariah.
Beliau berpendapat,
perkara-perkara itu boleh menyebabkan hubungan suami dan isteri
renggang, bergaduh dan akhirnya memilih cerai sebagai jalan untuk keluar
daripada konflik rumah tangga.
Musa tidak menyalahkan isteri
seratus peratus. Suami juga, katanya, mungkin menjadi punca isteri
curang, misalnya suami tidak menunaikan tanggungjawab zahir dan batin.
“Selain
itu, suami sendiri mungkin curang terlebih dahulu hingga menyebabkan
isteri beralih cinta kepada orang lain. Begitu juga jika suami
berpoligami tanpa kebenaran, berperwatakan kasar dan suka memukul
isteri,” terang beliau.
Musa memberitahu, dalam keadaan itu, perceraian dianggap penyelesaian terbaik.
Bagi
Pengarah Bahagian Bimbingan dan Kaunseling, Jabatan Pembangunan Wanita,
Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat (KPWM), Linda Jamaluddin,
masalah bermula apabila si isteri mengadu kepada orang lain yang tidak
berkaitan.
Katanya, wanita lebih terdorong untuk berjumpa teman sepejabat atau jiran-jiran untuk meluahkan perasaan.
Cinta sepejabat
“Daripada situlah timbul perasaan kasihan lebih-lebih lagi kawan lelaki hingga membibitkan cinta terlarang,” katanya.
Linda
berpendapat kecurangan berlaku disebabkan masalah komunikasi dalam
rumah tangga. Suami tidak memahami isteri dan begitulah sebaliknya.
Faktor lain ialah suami tidak mahu berkongsi kerja dan tugas menguruskan
rumah tangga.
MEDIA akhir-akhir ini kerap melaporkan kisah suami menangkap isterinya berdua-duaan dengan lelaki lain.“Kesilapan
paling utama adalah apabila suami atau isteri berkongsi masalah rumah
tangga dengan orang lain hingga menimbulkan masalah lain khususnya
curang,” hujah beliau.
Pengarah Jabatan Agama Wilayah Persekutuan
(Jawi), Datuk Che Mat Che Ali memberitahu, kecurangan merupakan salah
satu punca perceraian di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Beliau bagaimanapun tidak memberikan angka yang tepat berhubung kes cerai yang melibatkan isteri curang.
“Kes
cerai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan ialah
sebanyak 15 hingga 18 peratus berbanding jumlah perkahwinan yang
didaftarkan setiap tahun,” katanya.
Che Mat memberitahu, faktor
kewangan suami yang tidak stabil selain cabaran kehidupan di bandar
besar juga boleh mengakibatkan isteri curang.
“Dahulu, rata-rata
isteri menjadi suri rumah tetapi kini kebanyakan mereka bekerja.
Pergaulan di pejabat juga menjadi sebab isteri bermain kayu tiga selain
waktu yang singkat bersama suami sendiri.
“Lagipun tempoh
perkahwinan selama satu hingga lima tahun merupakan tempoh yang kritikal
dan pasangan suami isteri yang dapat menghadapinya dengan baik mungkin
perkahwinan mereka akan berkekalan hingga ke akhir hayat,” katanya.
Pakar psikologi, Dr. Suradi Salim pula berpandangan manusia sebenarnya tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan.
“Manusia
bukan malaikat. Seperti curang seorang lelaki, wanita juga boleh
melakukannya,” katanya. Namun, menurut Suradi lelaki lebih cenderung
bersikap curang kerana sikap ego mereka.
“Wanita dikenali dengan kesetiaan tetapi lebih berbahaya kerana mereka bijak menyimpan kecurangan mereka,” terang beliau.