Kontroversi tidak jejas Azizah
<div style="width:426px;height:100px;overflow:auto; ">
<span style="font-weight:bold;">
RATU angkat berat negara, Azizah Fadzil sudah boleh melupakan seketika kontroversi kegagalannya melayakkan diri pada temasya Sukan Olimpik 2012 di London.
Tampil sebagai atlet tumpuan, Azizah berjaya merangkul dua pingat emas dalam acara snatch dan clean & jerk bagi kategori 53 kilogram (kg) di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah, Pekan semalam.
Azizah yang menggalas cabaran Pulau Pinang ternyata berada dalam kelas tersendiri apabila sukar dicabar lapan lagi peserta.
Dalam acara snatch, Azizah merekodkan 64kg, manakala bagi clean & jerk, 80kg.
Pingat perak pula dimenangi atlet Pahang, Nurul Qistina Mohd. Kenali yang mengangkat bebanan 60kg (snatch) dan 74kg (clean & jerk).
Atlet Kelantan, Nur Fariesha Irwana Mohd. Supian meraih gangsa dengan catatan 59kg (snatch) dan 73kg (clean & jerk).
Biarpun dilihat meraih kemenangan mudah, Azizah mengakui yang dia sedikit terkilan kerana gagal memecahkan rekod Sukma dalam kedua-dua acara tersebut.
"Saya harus akui agak kecewa kerana gagal memecahkan rekod Sukma kerana itu sudah menjadi sasaran utama saya apabila bertanding pada Sukma kali ini.
"Namun, setidak-tidaknya dua pingat emas yang dimenangi hari ini (semalam) dapat menebus kekecewaan saya apabila gagal beraksi di London," jelas Azizah semalam.
Terdahulu, Azizah layak secara merit ke London setelah berada di kedudukan keenam teratas dalam kategori 53kg pada Kejohanan Kelayakan Zon Asia di Pyeongtaek, Korea Selatan, April lalu.
Bagaimanapun, perubahan ranking yang dilakukan Persekutuan Angkat Berat Dunia (IWF) baru-baru ini menyaksikan atlet Vietnam yang sebelum itu menduduki tangga ketujuh keseluruhan, naik ke tangga ketiga, manakala Azizah jatuh ke tangga ketujuh.
Mengikut peraturan, hanya negara yang berada dalam ranking keenam bagi Zon Asia layak mendapat slot ke London, sekali gus meranapkan impian Azizah untuk membuat penampilan pada temasya Olimpik 2012.
Sebagai rekod, temasya Sukma kali ini merupakan penampilan keempat dan yang terakhir buat Azizah.
Kali pertama Azizah membuat kemunculan pada Sukma 2006 di Kedah, namun ketika itu dia sekadar menduduki tempat keempat apabila bertanding dalam kategori 48kg.
Temasya Sukma 2008 di Terengganu menyaksikan Azizah meraih pingat gangsa sebelum dia memperbaiki pencapaiannya itu dengan merangkul perak pada edisi 2010 di Melaka.
"Selain menebus kekecewaan gagal ke London, kejayaan ini juga sebagai medan menebus kegagalan saya pada Sukma sebelum ini," jelas atlet kelahiran Kepala Batas berusia 21 tahun itu,
Sementara itu, kelibat atlet Sabah, Frenceay Titus turut mencuri tumpuan apabila meraih emas dalam acara snatch dan clean & jerk bagi kategori 58kg wanita.
Lebih membanggakan, Frenceay berjaya memperbaharui rekod kebangsaan dalam acara snatch apabila mengangkat bebanan 81kg, sekali gus memadam rekod lama iaitu 80kg.
Catatan itu juga sekali gus menyaksikan dia memadam rekod lama Sukma dalam acara tersebut iaitu 72kg.
Bagi acara clean & jerk, Frenceay sekadar memperbaharui rekod Sukma apabila mengangkat bebanan 95kg, seterusnya memadam rekod lama iaitu 90kg. Rekod kebangsaan acara itu ialah 101kg.
No comments:
Post a Comment