Mengakui di atas kertas Malaysia dilihat mempunyai kelebihan sebagai tuan rumah bersama edisi kesembilan yang akan bermula pada 25 November nanti, Shahruain atau lebih dikenali sebagai Kecik bagaimanapun enggan memandang mudah laluan
yang bakal dihadapi skuad kendalian Datuk K Rajagobal.
"Segala kelebihan tidak ada gunanya jika kita gagal menterjemahkan strategi dan juga rancangan ketika beraksi di atas padang.
"Namun begitu, saya tetap yakin dengan kebolehan rakan sepasukan dan percaya kami mampu melakukan yang terbaik sekiranya tumpuan 100 peratus diberikan dalam perlawanan.
"Malah kami pasti akan lebih bersemangat apabila beraksi di hadapan penyokong sendiri," katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Diundi bersama musuh tradisi Indonesia dan Singapura serta naib juara pusingan kelayakan, Malaysia dilihat berada dalam kumpulan maut meskipun berjaya menewaskan skuad Garuda pada final 2010 menerusi agregat 4-2 dan juara tiga kali, Singapura pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam 12 Jun lalu.
Pada masa sama, enggan memikirkan soal provokasi mahupun sentimen kenegaraan yang mungkin dihadapi skuad kebangsaan dalam pertemuan menentang Indonesia mahupun Singapura seperti perlawanan sebelum ini, Kecik menganggap perkara tersebut tidak penting baginya.
"Tolak tepi isu provokasi yang bakal dilakukan pihak lawan mahupun penyokong mereka kerana kita ternyata berjaya mengatasinya pada masa lalu. Apa yang penting sekarang adalah melaksanakan misi memburu kemenangan sekali gus mempertahankan kejuaraan," katanya yang turut positif sekiranya digandingkan dengan penyerang mudameningkat naik, Rozaimi Abd Rahman.
Malaysia akan bertemu Arsenal FC (24 Julai) dan Manchester City FC (30 Julai) dan kemudian ke Austria pada 4 hingga 16 Ogos untuk sesi latihan serta perlawanan persahabatan sebelum membuka kempen menentang Singapura pada 25 November, pasukan naib juara kelayakan (28 November) dan Indonesia (1 Disember).
Selain memburu status pasukan gergasi Asia Tenggara, juara kejohanan ini akan menerima hadiah AS$200,000 (RM636,692) manakala naib juara pula AS$75,000 (RM238,676).
No comments:
Post a Comment