Thursday 19 July 2012

117 atlet Sukma Terengganu terima ganjaran sebelum raya

117 atlet Sukma Terengganu terima ganjaran sebelum raya
Ahmad beramah mesra dengan beberapa atlet Sukma ketika mereka menikmati juadah tengah hari pada majlis ramah mesra bersama atlet Sukma Terengganu di Wisma Darul Iman, semalam.
KUALA TERENGGANU – Seramai  117 atlet Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu  yang berjaya meraih pingat pada temasya itu bakal menerima insentif kemenangan mereka selewat-lewatnya seminggu sebelum Aidifitri.

Selain insentif berjumlah RM5,000 (emas), RM3,000 (perak), RM2,000 itu, Kerajaan Negeri turut menjanjikan ganjaran istimewa dan lebih lumayan menanti mereka atas kejayaan mengharumkan
nama negeri menjuarai kejohanan itu empat kali berturut-turut.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said ketika memberi jaminan itu berkata, beliau akan mengumumkan perkara itu apabila tiba masa yang sesuai.

Bagaimanapun, beliau tidak menyebut bentuk habuan itu namun tidak menolak kemungkinan ia suatu ganjaran yang lebih lumayan dan istimewa untuk dihadiahkan kepada  atlet berkenaan.

Menurutnya, ganjaran tersebut dibuat berdasarkan rekod cemerlang kontinjen Sukma Terengganu yang muncul juara buat kali keempat berturut-turut  termasuk prestasi lebih cemerlang pada Sukma ke-15 di Pahang tempoh hari ini.

“Tunggulah, saya akan umumkan (ganjaran lebih lumayan) apabila sampai masanya nanti,” katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra dengan atlet Sukma Terengganu dan penyerahan rasmi Piala Pusingan Sukma kepada Kerajaan Negeri di Wisma Darul Iman,  di sini  semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Rozi Mamat dan Ketua Kontinjen Sukma Terengganu, Wan Nawawi Wan Ismail.

Dalam pada itu, Ahmad turut mengumumkan pemberian insentif tambahan sebanyak RM10,000  kepada olahragawan Terengganu, Abdul Mubin Rahim yang berjaya meraih pingat emas pada Sukma ke-15 sekali gus memecah rekod kebangsaan dalam acara angkat berat.

Ahmad berkata, selain itu, Kerajaan Negeri juga memutuskan untuk memberi insentif berupa tunai kepada kesemua 117 atlet yang berjaya meraih pingat pada Sukma ke-15 di Pahang sebagai penghargaan kerajaan kepada sumbangan mereka.

“Insentif tambahan ini diberikan sebagai penghargaan Kerajaan Negeri kepada Abdul Mubin yang berjaya memadamkan rekod kebangsaan yang dipegang atlet kelahiran Sabah, Matin Guntali selama sembilan tahun.
“Saya dah arahkan MSN (Majlis Sukan Negeri) membuat perkiraan jumlah insentif yang akan kita agihkan kepada atlet berjaya itu, kita jangka (agih) dua minggu sebelum Aidilfitri,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Featured post

Renew Insurans Murah

 Renew Insurans Murah Serendah RM90.00 untuk motorsikal dan serendah RM200.00 untuk kereta.. wasap segera 0199374884-Syah